Episod 1: Pushkin Datang ke KL?
Kota KL saban hari menerima sekelian pelancong luar dan dalam, dan November lalu menyaksikan penulis tersohor Russia, ‘W. A. Pushkin’ hadir ke Kuala Lumpur, membawa bersama bait-bait indah zaman aristokrat Russia era 1800-an.
 [Pushkin (1799-1837) terkenal sebagai Bapa Sastera Moden Rusia, dengan bait puisi indah dan radikal. Jika mata pena lebih tajam dari mata pedang, Pushkin membuktikan benar kata tersebut. Karya utamanya termasuk The Bronze Horsemen dll]
Bertempat di banglo lama Inggeris di Bukit Petaling di hujung jalan DBP, markas persatuan Penulis Nasional malam itu meriah dengan kehadiran wajah tempatan dan asing. Pushkin hadir dalam banyak wajah dan suara, bila sebenarnya puisi beliau diucapkan bersemangat dalam dua bahasa. Pusat Sains dan Budaya Kedutaan Russia (beralamat di Jalan Ampang) memang aktif berprogram, dan Pesta Filem Rusia 2008 adalah antara yang masih diperkata, dan kali ini berkerjasama dengan PENA untuk malam Puisi 2 Negara. Selain bait Pushkin, diperdengar juga baris dari Dostoevsky dan lainnya. Saya selalu merasakan Bahasa Rusia kasar bunyinya – bukan melodi-dramatik seperti Tagalong, Urdu, Melayu dan Thai – tetapi bila dijelmakan dalam syair ritmanya amat berlainan.
[Nota: Rumah Pena seringkali dilintasi, tetapi kerap tidak diendahkan. Hanya berjiran dengan Rumah GAPENA dan juga Restoran Tupai-Tupai, awasi tempat ini jika anda teringin menikmati aksi sastera/Penulisan secara langsung!]
[kusyuk mendengar cerita Dr Pogadev]
Malam itu meyaksikan Prof Madya Dr Pogadev, akademis UM yang terkenal kerana banyak menyemarakkan Bahasa Melayu termasuk terjemahan ke Bahasa Russia, hadir dengan angkatan muda dan lama – termasuk Pegawai Khas Duta Russia membacakan karya-karya Russia dalam Bahasa asli, sementara karya penyair Malaysia diterjemah secara spontan tapi masih bermakna. Malam itu juga pelancaran Buku Sastera Rusia Berjaya dijayakan sederhana tetapi meriah.
[Pak Samad, bersahaja, tapi penuh erti]
Membuat kemunculan istimewa malam itu pastinya Pak Samad Said, penyair nasionalis Malaysia yang rajin, tenang membacakan sajak-sajaknya tersendiri. Pak Aripin Said, mendapat tepukan gemuruh dengan gaya kompangnya, begitu juga penyair-penyair ternama tanahair lain.
[suasana majlis dan kerusi yang sesak]
[Pak Aripin dan Kompangnya]
Ada juga ketika tayangan foto desa, tempat asal Pushkin disiar, membawa audien ke dunia lain, dan menyelamai saat getir perjuangan rakyat Russia kala reformasi.
 KL malam itu sekali lagi berjaya menghimpunkan penulis/penyair dan pengkarya agung di satu tempat yang sama, kalaupun di alam yang berlainan. Apapun, malam itu adalah bukti kota ini terus menjadi tempat hubungan dua negara terjalin dalam caranya sendiri!
[hadirin sehingga ke luar ruang]
[editor Pentas tekun mendengar]


[Pushkin diabadikan di Stalingard]
Episod 2: Jalan Maugham atau Jalan TAR?
Selalu kota-kota besar menjadi ilham para pengkarya, khasnya bagi penulis dunia. Mereka mengembara dan cuba menikmati suasana asing, sambil mengilhamkan karya melalui pengalaman baru itu. Di majlis daerah atau Arrondisement ke-Empat Belas di kota Paris contohnya, ramai penulis ternama memilih café masing-masing sehinggakan zon itu bergelar ‘literary cafes’ termasuk yang terkenal iaitu La Coupole. Antara yang menyenanginya termasuk Elliot, Hawthorne, Hemingway, dan Fitzgerald. Di ‘kedai kopi’ itulah mereka menikmati kota, warga dan cuba berkarya.
[papantanda antik]
[tenang, sederhana tapi penuh sejarah]
Kembali ke Malaysia, siapa lagi penulis besar yang pernah melepak di KL? Kalau diselidik karya terdahulu, muncul nama A. Burgess dan W.Somerset Maugham yang menulis kisah Nusantara dan Malaya sekitar 1930-an. Soalan seterusnya, di mana mereka melepak di KL waktu itu? Dulu KLCC belum ada, dan belum dijadikan bangsal kuda pun, dan para pelancong ini tidak juga melepak di Jalan P Ramlee atau Chow Kit. Rupanya penulis terkemuka bernama Maugham itu ada tempat lepaknya sendiri di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
[Nota: W. Somerset Maugham (1874- 1965) dilahirkan di Peranchis sebenarnya, merupakan penulis agung British dalam multi- genre Skrip, Novel dan Cerita Pendek. Terkenal dengan karya seperti Rain, Of Human Bondage, dll, beliau mengembara ke seluruh dunia termasuk di Asia Pasifik sekitar 1920 dan 30-an dan banyak karya diilham sekitar hidup orang British di sini. Burgess pula, pernah mengajar di MCKK 1954-55, popular dengan The Malayan Trilogy/The Long Day Wanes].
[berseberang dengan Kamdar, berjiran panggung Tamil]
Mungkin sekitar 1930-an, Jalan TAR antara jalan yang tersibuk di Asia Tenggara selain Jalan Orchad Road Singapura dan Jln McCalister, Penang. Dan terselit di deretan kedai itu, ada sebuah bangunan lama sepesen hasil kerja tangan AB Hubback , arkitek yang banyak menempa rupa KL satu waktu dulu. Café Colesium (1921) rupanya sarang Maugham berlabuh, dan mungkin di situlah beliau mencari ilham sambil bertukar cerita dengan rakan kolonial.
[chinaware trademark, dari tahun bila agaknya?]
Apakah tarikan café itu? Café antara tertua di Malaysia ini nama penuhnya ialah Colesium café & Hotel. Dibina berkemabr dengan Panggung Colesium bersebelahan. Dari luar, tempat itu tidaklah mencerminkan tarikan hebat. Kedai dua tingkat berkembar itu nampak biasa, selain font ala-koboi atas tingkap cermin besar yang mengesahkan keklasikannya, berbingkai kayu berat warna merah. Di atasnya masih hotel [ayam??] yang usang, dengan harga serendah RM30-50 semalam. Ini ikon KL satu waktu dulu?, tanya hati saya.
[Mr Ho, antara pewaris ikon Jalan TAR]
Dalamnya kedai kopi klasik yang biasa; bar disebelah kiri dan sejurus hampir 20 meja yang dihiasa ala kadar, dinding asal bertiang bagak, meja bar bervarnish berlatar botol-botol minuman, juga perabot lama dengan upholstery koyak. Ada meja pelik spiral yang anda tidak akan jumpa di mana-mana cawangan Cavenzi pun. Ada kerja kayu pada pintu dengan simbol CC jelas, penyangkut kot (pengaruh Eropah) gaya lama melekap di dinding, dan ada juga penyaman udara yang kini tidak berfungsi. Saya tidak fikir banyak renovasi berlaku sepanjang usia café ini langsung!
Paling ketara ialah senarai menunya yang panjang – lengkap hidangan Barat atau Oriental – semuanya ada di situ. Saya duduk menyelami apa agaknya hidangan yang dipesan Maugham satu waktu dulu. Mungkin beliau sekadar menghisap curut, atau memesan Teh Earl Grey di samping scone [peliknya tiada dalam menu!]. Kata ramai, tempat itu terkenal dengan sizzling steaknya. Apa pilihan saya?
[set roti saya, dengan menu sarat]
Saya memesan kopi pekat dan set roti mentega. Atas meja, saya terfikir disitulah Maugham berkarya, dengan kertas dan pen, menulis cerita pengetua Victoria Institution yang menjadi ilham antara karya kala itu. Atau kelakarnya, di situlah dia menilik ‘anak-anak ikan tempatan’ kerana diketahui beliau mempunyai nilai hidup yang berlainan!
[catatan kenangan dari jauh, dan nostalgik]
Di balik kaunter bar, Mr Ho generasi keempat penjaga duduk diam mengira sesuatu, dibantu kapten-kapten (waiter) yang ada berkerja secara bergenerasi. Di sini semuanya klasik, termasuk pekerjanya. Di dinding ada catatan dan poskad dari benua jauh, meninggalkan nostalgia kepada yang di sini dan di sana. Terkejut saya bila melihat ada sesuatu yang menarik – karikatur berbingkai – melekap antara bahan pamer tadi!

[karikatur dato Lat tentang tetamu yang pernah hadir dan melepak di situ]
Rupanya pasti di sini juga tempat Dato’ Lat melepak dan mungkin mencari ilham. Ada hasil karyanya – dibuat khas untuk café ini – menceritakan warisan. Mungkinjuga visual ibu dan anak ke Kamdar di bangunan depan, anak muda beratur di pawagam Hindi di panggung sebelah, dan lapisan generasi yang melewati Jalan TAR – seperti juga kepada Maugham – jelas memberikan ilham dan rasa kepada para artisan dan karyawan ini, agaknya…
Kopi saya pekat sungguh. Saya menghirup perlahan, dan kejutan juga bila meja sebelah didatangi dua anak gadis belia yang pakaiannya sungguh tidak kena untuk melepak di café tua ini. Ini bukan Starbuck, dik, ujar saya di dalam hati. Lama kemudian saya mengetahui bahawa mereka adalah warga asal KL, dan semasa kecil dibawa ibubapa ke situ. Jadi mereka bukanlah salah tempat atau pelancong jauh. Oh, memang tempat ini penuh nostalgia kata saya, dan mereka berdua menjadi saksi bahawa generasi seterusnya masih menghargai café usang itu.
“Cubalah mee basah, atau juga hidangan Barat. Sedap!” kata mereka lagi.
Set sarapan saya hanya sekitar RM6, dibanding nilai sejarah dan pengalaman yang saya hirup pagi itu. Bertukar sapa dengan orang di kaunter, saya pergi dengan janji untuk cuba mencari peta KL yang baru untuk café itu. Di dinding ada peta KL lama – sungguh lama – terpampang di mana KLCC masih bangsal kuda, dan Bukit Nenas berada di kemuncaknya. Antik!
Mungkin Maugham juga melalui saat-saat seperti itu. Melihat KL dari dekat, dan menikmati satu dunia lain yang menarik untuk diperhati!
[jam antik, kerusi antik, botol antik, orangnya pun antik!]
Episod 3: Kelasi Kemudinya ke Melaka, Penulis Tempatnya di KL!
 Lima ratus tahun dahulu, sebenarnya sudah banyak penulis atau pencatat datang ke Malaysia – atau Suvarnabumi - tetapi tempatnya di Melaka. Ibn Batuta antara penulis travelog paling ternama menikmati kota dagang itu. Kini, sekurangnya, ada seorang penulis dunia yang saya tahu masih menikmati Kuala Lumpur, dan juga Melaka. Pelaut yang kini menulis. Saya mengejarnya – untuk autograf - sewaktu beliau berbicara di MPH Mid Valey tahun lalu, dan dia mengakui sudah dua kali ke Melaka atas rujuk bukunya. Sekali pandang, beliau hanyalah orang putih veteran biasa, kecuali otot kelasinya masih jelas kelihatan. Saya memujanya kerana dua perkara, dia menulis dan dia menyukai kapal dan laut – kebetulan yang kami kongsi.
[kulit buku judul pertama]
Dipandang remeh kerana kebenaran, Gavin Menzies penulis buku 1424 The Year China Discovered The World - antara buku penting dunia abad ini kalau ditanya pendapat peribadi saya - kalau tidak kerana kevokalan (kebenaran) menyanggah penemuan Columbus, Magellan atau Henry the Navigator, dan percaya bahawa Chinalah yang pertama meneroka benua-benua dunia . “Apa perasaan tuan menulis semula sejarah,” tanya saya. Dia senyum dan berkata, “Go figure!” menyebabkan saya tersengih. Entah mengapa, saya dapat merasakan Saudara Manzes akan datang lagi ke Malaysia, menikmati KL dan Melaka selagi hayatnya ada…
[Gavin Manzes (1937) http://www.gavinmenzies.net/ berkhidmat dengan Angkatan Laut DiRaja dan pernah menjadi kepala kapal HMS Rorqual, dan rujukan buku tulisan 1421 membawanya lebih dari 120 negara, 900 buah muzium dan pustaka. Dua buah bukunya 1421 dan 1434 amat menarik, sebenci manapun anda pada sejarah. Umat Melayu akan ketawa berguling-guling kalau membaca muka surat 103 dalam judul 1421 tentang aristokrat Melaka. Dapatkan segera buku itu ya!]
[peta Melaka 1854]
[Dewan di Stockholm mana Hadiah Nobel diadakan]
Dan, mungkin semestinya Stockholm paling banyak menerima penulis dunia lantaran Hadiah Nobel didadakan di Dewan Majlis Kota saban tahun [*percaya tak ada menu Nasi Goreng di kafeterianya?]. Kota lain juga ada yang meletakkan penulis dalam tahap tinggi, seperti Amsterdam yang biasa menjemput penulis terkemuka datang bertamu selama seminggu contohnya, dan menulis sesuatu tentang kota mereka. Mungkin KL juga boleh mengundang waris Burgess dan Maugham, atau mana-mana Nobel-lis untuk menikmati KL dan diabadikan dalam karya mereka, atau setepatnya mengundang saudara Tash Aw [membesar di KL/penulis Harmony Silk Factory dan pemenang kedua-dua Whitbread dan Hadiah Komanwel] bagi meletakkan kota ini abadi dalam kata dan rasa yang indah!
(gambar Tash Aw hakcipta A Seth/tash-aw.com)
Labels: city guest series, culture, XTVT |