Soalan saya, apa hubungan ‘Venusian Man’ da Vinci dan ‘hulubalang’ Raja Shariman??
Dikatakan, seni catan da Vinci sangat indah dan sempurna kerana dia mendalami anatomi setepatnya. Dikatakan juga da Vinci membedah mayat bagi mengurai rahsia tubuh dan rahsia pergerakan. Jadi susunatur urat, liuk gemalai, reflek dan rutin tubuh – dalam aksi bukan kaku - termasuk soal saiz selalu benar dan jelas, dan itulah kelebihan artis Itali tersohor itu.
Kembali ke galeri Petronas KLCC – antara galeri terajin dan terbaik di FT - saya baru menikmati karya artis tanahair tersohor dalam sesi ‘Rentak Abad ke 21-Monolog Raja Shariman ‘. Pengamal dan penempa besi berbakat – juga genre lain sebenarnya – kali ini menyerlahkan koleksi arca diiring lukisan studies yang cermat dan cantik. Melihat besi yang ditempa dan dirupa demikian, saya teringat soalan awal tadi, dan mungkin ia menjawab bahawa RS juga sangat meneliti anatomi [harapnya dia tidak membedah sesiapa!] berdasarkan ketekunan dan cermat yang terpampang.
Keseluruhan 88 karya memang pelbagai dalam tema dan ceritanya sendiri, tapi saya temukan keseragaman juga dalam setiapnya. Mungkin unsur paling jelas mendekatkan karya artis dengan audien ialah saiz benar arca sendiri, yang rata-rata tinggi separuh manusia, dan jelas pula belikat atau otot tangan dan selirat urat, menambahkan realistik dan kegerunan. Itulah yang saya maksudkan tadi bila bercerita tentang proportionate dan postur tubuh manusia oleh da Vinci. Dan mungkin efek sama tidak akan didapati jika arca ini dibuat sangat besar, atau siapa tahu mungkin pula efeknya berganda?!
Warna hitam besi menakluk semua batang arca, tapi diterangkan pula pada sisi khas contohnya kelongsong PELURU dengan warna perak atau asing – cuba memberitahu apa ya? Mungkin sisi perang nan jahat, busuk kesumat dan juga alat saat gasak dan menduga cuba diterangkan simbolik. Sedang, dalam keseragaman bentuk berpaksi horizontal dan menirus ke atas, muncul pula bentuk lain dari yang lain seperti terlihat pada beberapa.
Entah mengapa saya terus jatuh cinta dengan Cengkaman Penakluk *gambar [Besi tempa, diwarna 2008] - hening dinaung cahaya lampu, hebat dilihat dekat dan jauh! Tapi utamanya ialah ia lain bersahaja, berlutut dalam keadaan meminta, tapi sebenarnya berlagak, angkuh dengan penangan takhta! Memang Sang Penguasa hampas punya wajah berbeza - sampai ke khalayak. Lagi, pengkarya juga tidak terhad di batas latar nusantara, tapi turut membawa isu global dengan karya kait Bosnia, Gaza, hatta Karbala.
Apa yang membeza? Amati penyataan ini. Tidak pernah saya terjengah mana-mana karya keperkasaan Melayu – contohnya karya orang berpesak silat dalam mana catan – digambarkan sangat jelas SENJATA seperti yang dibuat oleh RS. Selalunya bertangan kosong atau secara subtle senjata dihunus. Sedang di sini – tanpa darah pun – jahat, tajam, gerigi, konteks tusuk dan rabit juga ngeri tergambar jelas di mata saya sebagai audien.
Apa masalah saya? Awal lagi saya terbayangkan Aliens dan Susan Alexander aka Sigourney Pengayam setiap kali melihat arca-arca ini, dan hilang ‘ketulenan lubuk hati’ seorang audien kerana asiosasi tersebut [memang dipengaruhi pencipta mahkluk dari Peranchis itu] – tapi itu saja. Selainnya, saya menikmati semua karya dengan penuh minat terhadap segala yang seni juga robotik yang manusiawi...
Oh, sebelum noktah, ada kredit untuk galeri ini. Saya terperasan yang ada sesi khas Artescape penuh aktiviti direka [03-2331 1228]. Ada banyak program untuk warga FT, termasuk kanak 7-11 thn juga 13+, jadi cuti sekolah akan lebih menarik!
[ Nota KL2FT] Pameran dari 29.10.09 – 24.01.10. Catatan dibuat tanpa didikan formal seni, dan berdasarkan sukahati penulis hehe
Labels: review, XTVT |